Menyedari keadaan ummat Islam yang kini semakin dilingkari oleh persekitaran yang mengundang ancaman kepada aqidah mereka, pula keadaan ummat Islam yang sering disogok dengan aktiviti yang meletakkan mereka leka dan alpa dari tanggungjawab dan amanah sebagai seorang muslim terhadap Tuhan yang mencipta mereka.
Leka dan alpa dari tanggungjawab dan amanah sebagai seorang muslim terhadap masyarakat dan negara, DPP Malaysia akan bangkit bersama Ngo - Ngo Muslim untuk menggerakkan kebangkitan Ummat Islam di negara ini agar peka terhadap tanggungjawab mereka mempertahankan aqidah dan memperjuangkan kesuciannya.
Ummat Islam seperti dibiarkan hanyut mengikut arus jahiliah moden yang melanda negara hari ini. Mereka dibiarkan jahil terhadap agama yang mereka anut tanpa sebarang tindakan yang efektif untuk memantapkan kefahaman dan aqidah sebaliknya aktiviti yang berpotensi meracuni pemikiran dan merosakkan aqidah ummat Islam semakin subur dan marak.
Melalui industri filem yang semakin mempopularkan amalan khurafat, tahyul, pergaulan bebas dan sindiran tajam kepada golongan yang komited dengan agama, kini aktiviti dan kenyataan yang mengguris hati dan nurani ummat Islam itu melarat pula ke laman sosial seperti facebook dan twitter tanpa sebarang sekatan.
Isu " Makcik Hajjah Sitt Al - Wuzara" yang telah menghina Islam secara terbuka melalui laman web, facebook dan twitternya seperti mendapat restu dari pihak berkuasa agama apabila tiada satu pun tindakan berkesan diambil.
Sungguhpun beberapa kali desakan telah dibuat oleh Dewan Pemuda Pas Malaysia mahupun Ngo - Ngo muslim termasuk kumpulan Jingga 13.Sebelum ini DPP Malaysia telah memberikan had tempoh 10 hari untuk pihak berkuasa agama bertindak setelah isu ini terlalu lama dibiarkan berlarutan.
Jika tidak, DPP Malaysia tidak teragak- agak untuk bangkit bersama dengan ngo - ngo muslim dan seluruh rakyat prihatin menggerakkan "Himpunan Sejuta Ummah" bagi menentang apa jua usaha, kenyataan dan perlakuan yang cuba meruntuhkan aqidah ummah dan mempersendakan ajaran Islam yang suci ini.
Dakyah golongan tertentu melalui pelbagai agensi dan elemen, yang dilihat cuba mempengaruhi pemikiran dan keyakinan (aqidah) ummat Islam juga giat dirancang dan berjalan dalam negara kita. Sementara keadaan ummat Islam yang semakin jauh dari suasana (bia'h) hidup beragama turut mengundang kepada gejala keruntuhan akhlak dan aqidah.
Mutaakhir ini, negara juga menyaksikan terlalu banyak ideologi ciptaan manusia disogok dan dipaksa kepada ummat Islam supaya mereka menerima dan menganutnya. Begitu juga ajaran - ajaran sesat semakin berkembang dengan berselindung disebalik pelbagai aktiviti sosial malah mereka seperti mendapat "lesen" untuk beroperasi secara terang - terangan.
Termasuklah penularan fahaman syiah yang semakin membimbangkan masyarakat Islam dalam negara ini. Ummat Islam tiada pilihan dan mereka mesti bangkit. Mereka perlu disedarkan segera dari lena yang panjang dan alpa yang mengasyikkan.
Justeru itu Dewan Pemuda Pas Malaysia memberi sokongan 200% kepada usaha ngo - ngo Islam bagi menjayakan "Himpunan Sejuta Ummah" di Stadium Shah Alam sebagaimana yang telah diisytiharkan oleh Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid semalam.
Objektif gerakan ini sangat murni dan sayugianya tiada siapa dari kalangan ummat Islam yang prejudis terhadap "Himpunan Sejuta Ummah" yang akan membangkitkan kesedaran Ummat Islam dari seluruh negara. Mudah - mudahan mereka memahami amanah dan tanggungjawab mereka sebagai seorang muslim yang tidak boleh membiarkan diri mereka dipersenda dan agama mereka dihina.
Insyaallah, bertepatan pula dengan resolusi Sidang Meja Bulat Dewan Pemuda Pas Malaysia bersama 14 Ngo - ngo Islam di Shah Alam tempohari, DPP Malaysia akan menggerakkan seluruh kekuatan pemuda - pemuda Islam negara ini untuk bangkit mempertahankan aqidah, akhlak dan fikrah ummah agar Islam kembali tegak dan dihormati sebagai agama yang membawa rahmat (kasih simpati), a'dalah (keadilan) dan barakah (kebaikan yang melimpah ruah) dari Tuhan Sang Pencipta.
Himpunan dan kebangkitan ini tidak perlu dilihat sebagai ancaman kepada masyarakat non muslim sebaliknya Himpunan dan Kebangkitan ini adalah berobjektifkan untuk memperkasa aqidah ummat Islam dan menentang elemen penghinaan terhadap agama Islam.
Justeru Islam adalah agama yang sangat menghormati dan menjaga hak - hak non muslim dan ia adalah agama yang sangat toleransi terhadap agama - agama lain.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia
Terbaru & Terhangat!!!
Thursday, 15 September 2011
Himpunan Sejuta Ummah Selamatkan Aqidah
14:10
Si PerisiK
No comments
0 comments:
Post a Comment