Sunday, 11 September 2011

Komen Jamal Abdillah Mengapa Sertai UMNO





PENYANYI terkenal, Jamal Abdillah sedar keputusannya menyertai parti UMNO mengundang risiko yang tinggi terutama di kalangan peminat-peminatnya yang menyokong parti pembangkang.


Katanya, keputusan menyertaii UMNO dibuat dengan penuh kewarasan dan bukannya didesak atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak, jauh sekali untuk mencari publisiti.

“Kerjaya saya dalam seni selama ini sudah cukup memberikan saya publisiti. Jadi, bukan publisiti yang saya cari apabila saya buat keputusan bersama UMNO.

“Dalam diam, saya sudah lama nampak  dan yakin dengan perjuangan UMNO yang telah membangunkan negara ini dengan aman dan makmur,” kata Jamal ketika dihubungi Agendadaily.

Penyanyi berusia 52 tahun ini juga mengakui apa yang menyebabkan dia lebih yakin  adalah kerana kepimpinan parti itu sentiasa mengutamakan dan memperjuangkan bangsa Melayu.

“Jadi, usahlah prejudis dengan pilihan yang telah saya buat. Di pentas, saya masih Jamal Abdillah, yang jadi ahli UMNO adalah Jamal Ubaidillah,” ujarnya.

Ketika ditanya mengapa dia memilih UMNO dan bukannya PKR , ini jawab Jamal, “Maaf saya cakap begini, saya bukan pandang rendahpada parti lain, tapi beginilah. Saya ini umpama manusia yang terdampar di tengah lautan sedang mencar kapal untuk selamatkan diri.

“Dalam keadaan itu, ada dua kapal,. Satu kapal besar yang ramai kelasi, tidak tergugat walau dilanda gelombang dan satu lagi kapal kecil dengan tiga nakhoda. Sudah tentulah pilihan saya adalah kapal yang besar yang boleh meliindungi saya dengan selamat. Itulah umpamanya."

Sebagai insan seni yang telah melalui pelbagai pancaroba hidup, jatuh dan bangkit dari kesilapan, pada penghujung usianya, Jamal berkata, dia tidak mahu melakukan kesilapan lagi dalam hidupnya.

“Apa yang jelas, sekalipun saya ini seorang artis dan hanya bergaul dalam kelompok seni, namun, saya juga rakyat yang utamakan kesejahteraan dan keharmonian. Saya juga sayangkan bangsa, agama dan negara saya dan kerana itu saya membuat ketetapan ini, jadi usahlah dipertikaikan pendirian saya,’ katanya.

Menurut Jamal, apa yang berlaku hari ini amat membimbangkan dirinya. Sekalipun dia hanya dilingkari dengan jadual menyanyi dan menghiburkan orang ramai, dia amat bimbang dengan perkembangan yang berlaku, terutama perpecahan di kalangan orang Melayu, gara-gara sikap manusia yang tamakkan kuasa.

“Keadaan sekarang sudah kritikal sebab orang Melayu  sudah berpecah belah. Kita mesti bersatu semula kerana penyatuan itu menjadikan kita teguh. Dan sebagai artis, kita juga ada peranan untuk memperkasakan agama, bangsa dan negara kita yang kita kasihi ini,” kata Jamal.

Apabila ditanya, adakah dia buat begini kelak membolehkan dia dapat jawatan dalam UMNO atau publisiti, penyanyi ini sekali lagi  menyangkal.

“Kalau publisiti, dalam kerjaya saya sebagai penyanyi selama ini pun saya sudah dapat publisiti yang bukan sedikit. Juga saya melangkah bukan kerana jawatan, tapi macam yang saya kata, saya ini orang biasa yang sangat resah di dalam hati apabila berlaku perpecahan di kalangan orang Melayu.

“Dalam keadaan saya yang sekarang ini sudah celik, saya tidak mahu mempersia-siakan hidup dan masa depan anak-anak serta bangsa saya. Saya mahu bersama-sama UMNO.

“Dan saya menyeru artis-artis dan peminat-peminat yang masih belum masuk mana-mana parti, marilah kita sama-sama menyokong dan berjuang untuk kebaikan agama, bangsa dan negara yang kita cintai ini,” seru Jamal yang mahu pegang pada pesanan ayahnya. Arwah ayahnya pernah menyandang jawatan Pengerusi Tetap Umno Pasir Salak sebelum meninggal dunia.

“Semasa hayatnya, arwah ayah selalu jadikan Rasulullah SAW dan Tun Mahathir sebagai contoh kepimpinan yang patut diteladani. Rasulullah dalam perjuangannya menjadikan musuh sebagai kawan, tiada dengki manakala kepimpinan Mahathir dikagumi kerana keteguhannya memimpin, kurang cakap, tapi sukses,” katanya.-10/9/2011-


Kenapa saya pilih UMNO? - Jamal Abdillah

Kalau sebelum ini sebilangan artis termasuk AC Mizal menyertai UMNO, Rabu penyanyi terkenal Jamal Abdillah juga memilih parti itu sebagai wadah perjuangan politik.

Katanya beliau tidak kisah sekiranya selepas ini ada yang menuduhnya mahu mencari publisiti murahan kerana tahu dan yakin dengan apa yang dilakukannya.

Jamal berkata  beliau ambil keputusan ini kerana amat yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Najib dan kepimpinan sebelumnya dalam mentadbir negara ini.

Serentak dengan itu beliau menyeru para peminat dan rakan-rakannya bersama-sama menjadi ahli UMNO dan cubalah celikkan mata dan lihat apa yang telah kerajaan lakukan selama ini untuk rakyat.

“Janganlah kita bercakaran sesama sendiri hanya mengejar kepentingan diri. Kita harus bersatu padu memertabatkan negara kita. Jangan mudah membiarkan orang lain menginjak maruah bangsa kita. Bukanlah saya bermaksud untuk berpolitik tetapi saya sedar bahawa tiada parti lain yang mampu menjaga kepentingan rakyat selain daripada UMNO dan BN,” katanya.

Beliau sebelum itu menyerahkan borang keahlian kepada Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh di Ibu Pejabat UMNO, di Kuala Lumpur.

Kata Jamal walaupun baru mendaftar menjadi ahli UMNO hari ini namun sebenarnya beliau  telah lama menyokong UMNO malah arwah ayahnya semasa hayatnya merupakan pengerusi tetap UMNO di Pasir Salak.

“Saya bukan menyertai UMNO untuk kepentingan diri ataupun mempunyai agenda tersembunyi tetapi kerana saya yakin dengan parti keramat UMNO. Saya yakin dengan prinsip saya dan saya rasa kalau parti lain yang memerintah negara, tidak mungkin saya mampu bertahan bergelar penyanyi sehingga kini.

“Kerana kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang berjaya mentadbir dengan aman damai maka saya mampu bertahan sehingga kini. Malah peminat saya juga terdiri dari berbilang kaum,”katanya.-7/9/2011

-Agenda Daily

0 comments:

Post a Comment

Ikuti Blog Ini

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Walgreens Printable Coupons