KUALA LUMPUR 21 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mengetepikan sapina yang menghendaki mereka sebagai saksi pembelaan dalam kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam permohonan tersebut, mereka menamakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dan pihak pendakwaan sebagai pihak responden.
Kira-kira 45 minit selepas permohonan itu difailkan pada pukul 3.30 petang ini, pihak media dimaklumkan bahawa kesemua pihak yang terlibat akan bertemu dengan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah esok bagi menetapkan tarikh pendengaran permohonan berkenaan.
Permohonan tersebut difailkan di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Jenayah di sini oleh peguam-peguam, Datuk Salehuddin Saidin, M. Athimulan, Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Ghazi Ishak yang hadir mewakili pasangan berkenaan.
Kesemua peguam terbabit bagaimanapun enggan memberikan sebarang maklumat lanjut mahupun alasan-alasan yang dikemukakan dalam permohonan tersebut sehingga mahkamah mengeluarkan salinan yang sudah dimeterai.
Pada perbicaraan kes liwat pertama pada 1998, lima individu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat permohonan yang sama dan dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes tersebut.
0 comments:
Post a Comment