Saturday, 10 September 2011

Datuk Abdul Aziz Nafi Skuad Johor Terlibat Rasuah





PEMAIN kami tidak terlibat dalam kegiatan mengatur keputusan perlawanan.


Demikian tegas Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) semalam yang yakin bahawa skuad Johor tidak terbabit dengan gejala rasuah meskipun seorang bookie ditahan polis dipercayai terbabit dalam mengendalikan pertaruhan pada perlawanan Piala Malaysia ketika aksi menentang Kedah di Stadium Larkin, Selasa lalu.

Naib Presiden 1 PBNJ, Datuk Abdul Aziz Sapian berkata, meskipun terkejut dengan perkara tersebut, beliau yakin skuad Johor bebas daripada gejala negatif itu.

Katanya, ini berdasarkan pihaknya sentiasa memantau aktiviti para pemain dan pengurusan yang dilakukan dengan kerjasama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

-Kosmo

“Di peringkat dalaman, kita telah mengambil langkah-langkah awal dalam menangani masalah rasuah termasuk mengadakan ceramah berkaitan rasuah kepada pasukan ini.

“Selain itu, kita sering memantau dan mengawal aktiviti serta para pemain tahu karier mereka akan musnah jika terbabit dengan rasuah,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya di Pulai Perdana, Johor Bahru semalam.

Turut hadir jurulatih Johor, Azmi Mohamed dan para pemain skuad berkenaan.

Akhbar semalam melaporkan, pihak polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun ketika sedang sibuk mengatur pertaruhan membabitkan perlawanan Johor dan Kedah menerusi telefon di tempat duduk utama di stadium berkenaan.

Penahanan kira-kira pada pukul 10.50 malam itu dilakukan hasil maklumat dan intipan sepasukan anggota Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Johor.

Polis turut merampas dua telefon bimbit dan kertas catatan pertaruhan yang memaparkan jumlah pertaruhan membabitkan kedua-dua pasukan itu.

Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya berkata, isu bookie tersebut tidak mengganggu tumpuan skuad Johor pada perlawanan menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh malam ini.

“Walaupun kalah kepada Kedah Selasa lalu, komitmen dan semangat skuad Johor tetap tinggi dan kita akan memberikan aksi terbaik di Perak nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi turut percaya para pemainnya tidak terbabit dengan aktiviti rasuah atau mengatur perlawanan.

Jelasnya, pihak pengurusan telah mengambil langkah sepatutnya dalam menangani isu tersebut dan ketika ini semangat skuad Johor tetap tinggi untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“Saya lihat komitmen, semangat juang para pemain adalah tinggi dan mereka tidak tertekan untuk menghadapi perlawanan menentang Perak malam esok (hari ini).

“Meskipun Perak tanpa lima tonggak utama yang digantung lima perlawanan, kami tetap berhati-hati kerana pemain simpanan yang diturunkan pasti memberikan aksi terbaik agar terus mendapat kepercayaan untuk beraksi,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Ikuti Blog Ini

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Walgreens Printable Coupons