Monday, 3 October 2011

HUDUD: BERSEDIAKAH MALAYSIA?


Hudud ertinya hukuman yang ditetapkan ALLAH SWT sebagaimana dalam al-Quran dan hadis serta kadar hukumannya (seksaannya) ke atas kesalahan jenayah tertentu, yang tidak dibolehkan manusia mengubah, menokok atau mengurangkannya.

Di Kelantan, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Hudud dan Qisas) telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada November 25, 1993. Manakala Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 pula diwartakan pada 25 September, 2003,

Bagaimanapun, sehingga kini ia tidak dapat dilaksanakan kerana dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan hampir dua dekad, tetapi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap mahu memasukkan enakmen hudud dalam hukuman syariah negeri Kelantan untuk diguna pakai Mahkamah Syariah.

Tindakan Nik Aziz itu bagaimanapun mengundang kenyataan tegas DAP, sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR) yang menolak dan Nik Aziz pernah meminta DAP meninggalkan pakatan berkenaan sekiranya tidak mahu ia dilaksanakan.

Hasilnya, Pakatan tidak akan melaksanakan undang-undang hudud seperti dicadangkan kerana pelaksanaannya tidak menepati dasar bersama pakatan itu dengan menjadikan alasan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bukan asas Buku Jingga.

Walaupun mendapat tentangan, Mursyidul Am Pas itu tetap menaruh harapan hudud akan dilaksanakan di negara ini jika Pakatan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menegaskan kerajaan tidak akan melaksanakan hudud memandangkan realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan dengan mengambil kira prinsip ‘Maqasid Syariah’ iaitu matlamat sebenar dalam pentadbiran untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

Mengambil contoh negara yang melaksanakan hudud, Arab Saudi dan Pakistan, ternyata statistik jenayah di negara berkenaan berkurangan lantaran hukuman berat dikenakan terhadap pesalah sekali gus mendidik masyarakat.

Namun, ia bukan kayu ukur sebenar sekiranya hukum hudud dilaksanakan di negara ini.
Apabila kita balik kembali pada dasar kepelbagaian kaum, adakah hukum hudud boleh diterima untuk dilaksanakan dalam Malaysia? Persoalannya adakah hukum hudud relevan dan adil di mata setiap bangsa dan kaum di negara ini? Adakah ia dapat dilaksanakan dan dipersetujui setiap kaum dalam Malaysia? - Sinar Harian Online

0 comments:

Post a Comment

Ikuti Blog Ini

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Walgreens Printable Coupons